Karya Seni dan Interaksi Media
oleh : Nor Hafizah Borhan

Sebuah objek seni diterjemah melalui kefahaman asas manusia terhadap kebolehan karya itu berinteraksi dengan audien. Karya seni adalah hasil atau ciptaan sebuah objek merangkumi catan, arca, atau cetakan dan lain-lain yang diolah dan dibentuk sehingga menjadi sesuatu yang khusus mengandungi lebih pernyataan simbolik dengan fungsi tertentu. Penghasilan karya seni melibatkan penggunaan media. Media merupakan bahantara yang digunakan dalam penghasilan sesebuah karya contohnya catan cat minyak, arca ukiran batu, atau cetakan intaglio. Hasil seni pula terbahagi kepada dua bentuk penghasilan karya iaitu hasil karya dua dimensi atau tiga dimensi contohnya catan dan arca. Dalam penulisan ini, saya ingin menjelaskan tentang perkaitan antara catan dan arca terhadap sesebuah penghasilan karya seni dan terlebih dahulu saya ingin memulakan sedikit penerangan mengenai catan, seterusnya diikuti dengan definisi arca. Kemudian, adakah wajar untuk kita memikirkan apakah hubungan sesebuah karya seni dengan media yang digunakan ataupun sebaliknya.

Jika sejarah seni menerangkan catan adalah proses menghasilkan seni dengan menggunakan bahan berwarna atau cat yang disapu ke atas sesuatu permukaan yang rata, kini objek seni ini telah menggerakkan dimensinya kepada penyesuaian media yang pelbagai dalam proses penghasilannya. Bermula dengan karya seni menggunakan cat minyak oleh Leonardo Da Vinci, Pablo Picasso, Monet, Salvador Dali dan sebagainya di mana mereka memenuhkan ruang kanvas dengan hanya menggunakan cat minyak dan berus. Kemudian inovasi media ke atas catan di teruskan dengan catan relief berbentuk dua dimensi mengunakan tanah liat contohnya ‘Relief of the Giotto's Bell Tower in Florence’ oleh Nino Pisano, Itali. Di sini, penghasilan catan telah pun menjalani proses pertukaran dimensi media dengan pengunaan bahan yang juga turut digunakan dalam karya membuat arca. Tidak cukup dengan itu, Robert Rauschenberg pula menghasilkan karya catan yang lebih dramatik dengan penggunaan barang buangan dan ‘found object’. Rauschenberg mengungguli aliran Neo-Dada dengan catan asemblaj. Beliau menerangkan “the object itself was changed by its context and therefore it became a new thing", di sini bermaksud, konteks sesuatu objek itu berubah dan menjadikannya sesuatu benda yang baru. Penghasilan catan berpotensi menjadi objek tiga dimensi seperti juga arca, ianya bergantung pada ciri-ciri elemen dan prinsip sesebuah karya dalam menghasilkan karya seni.

Bagi karya arca, ianya tidak lagi dilihat sebagai arca. Sebagai objek seni yang ekslusif, arca dapat dijelaskan sebagai objek interaksi awam yang spesifik seperti instalasi, replika, boneka, tugu, patung mahupun ukiran. Dalam hal kesenian, manusia merupakan audien dan juga objek sosial yang menjalani proses interaksi. Interaksi dalam kesenian arca pula bergantung pada kekuatan material atau media sebagai agen yang membantu pengarca menterjemahkan sesebuah karya arca. Definisi arca dalam sejarah seni lukis wujud apabila lahirnya objek tiga dimensi berupa patung figura manusia dalam abad ke-18 dicipta untuk memperingati sesuatu peristiwa bersejarah, atau kehidupan seorang tokoh dimana lebih tertumpu kepada perlambangan. Media yang digunakan pada arca ketika itu terbatas memandangkan penemuan material dalam menghasilkan arca adalah terhad berbanding di zaman ini.

Penggunaan media dengan tema sesebuah karya seni tidaklah bergantung pada keghairahan dan minat pengkarya mahupun karenah membuatnya, ini kerana media yang digunakan melambangkan kematangan pencipta seni itu berinteraksi dengan material seterusnya audien. Tafsiran arca sebagai objek seni atau sekadar sebuah objek statik yang memenuhi ruang pameran menjadi asas intelektualiti pengarca berkarya. Bagaimana dikatakan sesuatu objek itu ditafsir sebagai arca? Bayangkan sebiji pemadam getah, baju sejuk dan peti sejuk digunakan dalam sebuah karya asemblaj untuk melihat kembali keberkesanan karya Marcell Duchamp dengan ‘found object’ nya, dijelaskan oleh Erwin Wurm dalam ‘One Minute Sculpture’ dengan hanya menggunakan kerusi, pin, rak, dan juga audien sebagai objek yang bermain dengan interaksi arcanya. Dengan menggabungkan performance, fotografi, instalasi, lukisan, teks, video serta ‘found object’ demikianlah yang dikatakan oleh Wurm sebagai proses sesuatu objek menjadi arca. Disini apa yang ingin di sampaikan dalam pameran Heavy Metal ini, sejauh mana kuasa media besi dapat membuktikan keberkesanan materialnya sebagai objek interaksi awam terhadap audien dan bagaimana karya seni dan media berhubung?

Media dalam arca merupakan objek potensi yang menjadi penghubung sesuatu arca dapat berkomunikasi. Tema sesuatu karya seni tidak membawa jawapan yang tepat terhadap media yang dipilih untuk berinteraksi dengan persekitaran melainkan objek tertentu dapat dilihat dengan jelas atau melalui penerangan serta presentasi artis itu sendiri. Contohnya, karya arca yang menyelitkan metafora dan pengamatan yang mendalam menerusi media ruji seperti besi, kayu dan kaca oleh Raja Shariman, Ramlan Abdullah dan Raja Azhar dilihat menjangkaui proses kebiasaannya arca dihasilkan di Malaysia. Disini inovasi terhadap penggunaan media baru boleh berkembang melalui aktiviti praktikal di dalam bengkel bagi menghasilkan arca-arca yang perpotensi menjana perkembangan minda dan intelektual dalam kepesatan sains dan teknologi dunia. Kejayaan Theo Jansen mencipta satu mekanisma kehidupan menerusi ‘The Walking Creature’ (2007) dengan hanya menggabungkan material seperti kayu dan plastik beliau dapat menggerakkan arcanya dengan menggunakan tenaga kinetik yang mampu bertindakbalas dengan kuasa tiupan angin. Kepekaan Jansen, bereksperimentasi dengan material yang dipilih telah melonjakkan taraf inovasi kesenian arca dalam sejarah seni moden menerusi teori dan formulasi sains, fizik, senibina dan kejuruteraan.

Pameran Heavy Metal ini mengetengahkan pengkajian terhadap kuasa media yang digunakan iaitu besi oleh Mohd Saharuddin Supar, Ahmad Zuraimi Abdul Rahim, Azman Ismail, Ruzzeki Harris dan Jamil Zakaria. Mereka telah menjadikan bahan ini sebagai media rasmi pameran dengan pengolahan karya dan teknik yang berbeza. Pemilihan karya di buat berdasarkan kecenderungan kelima-lima artist dalam pencetusan idea menjadikan besi sebagai objek seni menerusi lukisan, catan dan arca termasuk kimpalan, gurisan dan anyaman. Heavy Metal memaparkan hasil karya berupa komentar sosial, humor dan eksperimentasi bahan. Apa yang dapat diketengahkan dalam pameran ini adalah nilai kefahaman artis tentang penggunaan besi sebagai bahan dalam pameran seni sejajar dengan penghasilan lukisan, catan, arca, instalasi dan sebagainya.
seperti yang disebut oleh Robert Rauschenberg;

”I think that one can use another man's art as material either literally or just implying that they're doing that, without it representing a lack of a point of view.”


Disember 2009