MEOR DAN MAHADI: MENJENGAH KISAH DUA KOTA
“Ini adalah masa yang terbaik, ini adalah masa yang terburuk, ini adalah zaman kebijaksanaan, ini adalah zaman kebodohan, ini adalah era kepercayaan, ini adalah era ketidakpercayaan, ini adalah musim Pencerahan, ini adalah musim yang gelap, ini adalah musim bunga penuh harapan, ini adalah musim salji yang putus harap, kami mempunyai segalanya sebelum ini, kami tidak mempunyai apa-apa sebelum ini, kita semua terus ke Syurga, kita semua ke jalan bertentangannya…”
Ya. Itu adalah permulaan frasa keramat selama beberapa kurun ini yang dihikmahkan oleh Charles Dickens dalam novel terkenal beliau, The Tale of Two Cities. Pada perenggan pertama itu, tiada watak diperkenal, tiada plot yang terlakar. Tetapi itu saja sudah cukup memberi kesan dan bergema sepanjang penerokaan novel tersebut.
BAB 1: EVOLUSI SEBUAH REVOLUSI
The Tale of Two Cities adalah tentang dua kota yang bergelut getir tentang mobiliti dan strata sosial, tentang kebangkitan daripada kekerasan dan pembunuhan. The Tale of Two Cities adalah tentang pengkhianatan. Adalah tentang kebebasan yang terbina daripada kehancuran. Adalah tentang kesetiaan. Adalah tentang kelas hidup. Adalah tentang revolusi. Adalah tentang kota yang terbina daripada ketamakan dan kemewahan. Adalah tentang para borjuis dan proletariat. Dan juga adalah tentang manusia yang berwatak dan berperan. Itu penglipurlaraan Dickens.
Dan seingat saya ada beberapa rakaman visual tentang Revolusi Perancis oleh beberapa artis antaranya lukisan The Death of Marat (1793) oleh pelukis terkenal Perancis, Jacques-Louis David. Naratif The Death of Marat ini adalah tentang pembunuhan seorang revolusioner Peranchis iaitu Jean-Paul Marat yang telah dibunuh di kamar mandi. Karma memakan diri. Tragedi dibalas tragedi. Dan sememangnya Dickens juga tidak bersetuju tentang idea kekerasan dalam menentang sebuah kekejaman itu seperti yang terkisah dalam novel ini iaitu “…crush humanity out of shape once more, under similar hammers, and it will twist itself into the same tortured forms…”.
Lakaran visual tentang pensejarahan dan kritik sosial sebenarnya telah bermula sejak penyerapan idea-idea Marx ke dalam estetik seni visual. Seni sebagai ideologi atau kritik sosial. Menurut Marxism, seni itu dikatakan bukan sekadar suatu praktis seni yang tinggi tetapi bahkan juga sebagai suatu bentuk kesedaran sosial. Para Marxis juga percaya bahawa seni dan estetik secara holistiknya, adalah bahagian yang menyulam masyarakat dan aspirasi yang menyuluh kepada identiti insani yang lebih autentik. Yang merakam secara tak langsung keadaan budaya, sosial dan politik masyarakat pada ketika itu. Ya. Seni merakam konteks. Seni sebagai kritikan sosial. Dan ini penting dalam membezakan dengan seni terjemahan Pluto, Collingwood mahupun Greenberg atau bentuk-bentuk idea estetik yang lain.
Ah. Agak jauh kita meneroka tentang ideologi seni. Mari kita kembali kepada Meor dan Mahdi serta Kisah Dua Kota jelmaan mereka.
BAB 2: WATAK PERAN DAN LATAR CERITA
Mahdi dan Meor secara peribadi saya lihat bukanlah revolusioner politik. Jauh sekali kelihatan seperti pejuang kelas dan ras. Mereka hanya ingin bercerita secara visual dengan watak-watak, lakaran dan latar seperti pentas. Sedikit sukar untuk meneliti dan mencari persilangan titik dalam dua gaya yang agak berbeza. Meor dengan gaya potret ala klasiknya, manakala Mahdi pula dengan dunia tidak sedarnya. Lalu teringat saya akan sebuah novel yang agak luarbiasa iaitu kisah Dickens yang dijelaskan tadi. Sepertimana Dickens berlipur tetang kisah dua kota, Mahadi dan Meor pula adalah seperti dua kota yang merakam watak dan penceritaan di dalamnya. Meor mencipta watak, Mahadi membentang latar. Keseluruhan keping kanvas mereka seperti sebuah naratif yang panjang, terbahagi bab-bab, sepertinya naratif Dickens.
Meor, yang saya mula kenali daripada Studio Sebiji Padi, ialah pelukis yang sedikit obses dengan ‘subject matter’ lukisannya iaitu ke-Binatang-an. Ke-binatang-an ini juga adalah salah satu sifat yang sering dikaitkan dengan manusia - yang tidak berakal. Personafikasi bentukan Mahadi ini katanya disempurnakan melalui proses kajian dan telitian struktur dan imej binatang tersebut. Ini saya kira seiring dengan penelitian tentang watak dan karakter ke-binatang-an itu.
Watak ke-binatang-an itu disempurnakan ke-manusia-annya dengan pemakaian atau kostum yang bertepatan dengan maksud atau karakter yang dimainkan dalam bentuk potret gaya klasiknya (Gaya klasik atau figuratif tradisional ini sebenarnya muncul kembali dalam garis masa pada sekitar tahun 60-an.) Karakter-karakter ini adalah suatu kritikan kepada sifat-sifat ke-manusia-an seperti kesombongan, kemegahan, amarah dan lain-lain. Binatang atau haiwan seperti gajah, burung merak, tikus dan lain-lainnya dipilih sesuai dengan konotasi karakternya yang jika dilihat pada tajuk, sebahagiannya diambil daripada peribahasa atau frasa-frasa yang sudah kebiasaan didengari.
Merak yang diketahui seekor burung yang cantik, berkostumkan baju gaun yang indah, diperlambangkan sebagai karakter wanita kelas tinggi atau wanita borjuis, lalu diberi nama “The Portrait of Peacock” atau Seperti Merak Sombong. Watak buaya yang digambarkan seolah-olah bergaya dan ‘macho’ pula disimbolkan dengan lelaki yang kaki perempuan atau Buaya Darat (Mr. Romeo). Tetapi ada juga gambaran haiwan yang agak ambigu yang memerlukan kita merujuk kepada tajuk untuk mengenalpasti watak-watak yang perlu digalasnya.
Mahadi pula, yang berasal dari ibu kota pula lebih bermain dengan transkripsi automatik jiwa tidak sedar. ‘Subject matter’ yang dipilihnya adalah gabungan beberapa objek yang terkadang dikomposisikan menjadi satu smbol yang besar. Biarpun Mahadi bercerita tentang kepincangan teknologi (dan saya andaikan dia bukanlah pengikut tegar Luddites) tapi saya kira, dia lebih bercerita tentang ketidakpuasan dan kepincangan sosial dan budaya di sekitar. Ini kemungkinan pengaruh daripada pemerhatian beliau dalam ibu kota yang sangat terbuka dengan pelbagai sinkronis dan asimilasi budaya dan teknologi.
Latar cerita yang ingin dikisah bentangkan oleh Mahadi lebih kepada pengkisahan suasana dan perletakan ‘props’. Dalam ‘The Uncomplete Floating Mannequin’, Mahadi memberi latar feminis iaitu beratnya peranan wanita dalam sesebuah masyarakat. Kehendak sosial, pemujukan pengiklanan dan momokan yang dibuat terhadap kecantikan ideal sebenarnya telah memberi satu definisi wanita yang telah ditetapkan cirri-ciri klise atau paksaan. Liberalisasi dan emansipasi wanita telah lama diperjuangkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu dan persoalan peranan wanita ini sebenarnya agak berat dan sukar untuk diperkatakan dan difahami oleh lelaki yang kurang ‘melihat’ dan ‘mendengar’.
Manakala dalam siri telur, Mahadi secara pukalnya meletakkan, ya, props – telur. Biarpun apa penceritaan Dignity, Gen-ad dan Controller, ikonologi serta persimbolan telur dalam masyarakat dan budaya Melayu, terutama dalam perkahwinan adalah tentang kesuburan, zuriat atau rezeki. Dan persoalan yang sering dimomokkan ialah kewujudan sama ada telur atau ayamkah yang dahulu. Itu suatu literatur yang lain pula.
Mahadi yang lebih selesa dengan pendekatan yang agak surealis itu pada mulanya agak teraba-raba dengan apa sebenarnya gaya dan stail yang beliau mahu semat lencana pada dada. Bukankah itu label yang harus ada pada setiap artis yang serius dan mendapat pendidikan formal menurut kata ahli bijak pandai terdahulu? Proses itu sebenarnya adalah suatu proses yang panjang dan semestinya seseorang artis itu akan mencari perletakan diri mereka yang tetap dan sumbangan dalam dunia seni ini. Dan sebenarnya para surealis Barat juga sebenarnya turut memberi sumbangan kepada gerakan revolusi negara mereka contohnya seperti karya agung Guernica, hasilnya Picasso. Bukanlah ingin memberi justifikasi atau meng-iya-kan peranan Mahadi itu suatu yang radikal tetapi sekadar ingin menyatakan bahawa para surealis bukan sekdar bermimpi dan berfantasi. Ah. Tapi itu cerita lain.
BAB 3: PLASTIK FORMALISTIK
Gaya. Stail. Tema. Aliran. Dan saya kira Meor dan Mahadi telah mula menjumpai cop diri yang harus ada pada setiap lukisan mereka terutamanya jika dilihat pada karya-karya terkini Mahadi. Aspek formal itu cerita lain, dan saya kira terutamanya Mahadi sendiri yang kurang percaya pada seni akademik. Biarpun karya kritik sosial (jika kita mendengar kata para pengikut Marx – yang tidak perlu terlalu berbicara tentang aspek struktur formal), tetapi masih ada ruang untuk mencari jejak-jejak formalistiknya. Artis yang baik seharusnya dapat mengungkap bahasa formalistik seni (biar secara langsung mahupun tidak) dalam sesebuah karya yang melaungkan kritikan. Lebih-lebih lagi jika pengkarya berkenaan berlatarbelakangkan akademik seni. Saya tidak akan menjengah setiap satu karya mereka tetapi cukup sekadar membuat rumusan sepintas.
Jika dilihat pada keseluruhan karya Meor, kekuatan beliau adalah pada pemilihan warna serta kecekapan kinestetik tangan-mata. Kualiti taktilnya pula dapat dilihat pada perincian tekstur kulit dan kostum. Pemilihan warna yang kusam seolah-olah ingin memaparkan ambiens klasik tetapi dimodenkan dengan pemilihan warna kontras biru dan merah. Sedikit teknik ‘chiurascuro’ di sana-sini serta percikan titis-titis cat yang melusuhkan lagi watak pada lukisan.
Perletakan komposisi agak menarik dan dinamik – iaitu tidak terlalu simetri – pada sesetengah karya yang menampakkan ciri-ciri potret ala klasik. Semua ini hampir sudah lengkap sebagai suatu ala pemotretan. Tetapi sukar untuk melihat dari mana arah cahaya (pencahayaan dan bayang adalah kualiti penting dalam potret gaya klasik) kerana cahaya kelihatan datang dari pelbagai arah. Ruang latar belakang pula sekadar kabur untuk menampakkan kedalaman dan teknik ini sebenarnya mula dipopularkan oleh Da Vinci. Itu antara idea ‘master’ yang tidak rugi jika ingin di’curi’.
Mahadi yang banyak bermain dengan ciri-ciri para surealis pula menyandarkan pada suasana atau ambiens fantasi dan mimpi. Jadi, komposisinya bertunjangkan pada prinsip kolaj iaitu komposisi yang dibina daripada bahagian-bahagian objek-objek yang dicantum bersama. Penindihan objek-objek ini pada latar belakang, latar tengah dan latar hadapan yang menimbulkan ruang dalam. Penerapan prinsip ini sebenarnya dapat menimbulkan perasaan misterius.
Pemilihan warna-warna Mahadi yang terang dan polos mengingatkan saya pada warna-warna para Fauves. Fauves menegaskan bahawa kuasa warna untuk membentuk ‘form’ tanpa merujuk kepada warna-warna asal. Kualiti yang dapat dilihat jelas dalam lukisan Mahadi ialah warna yang dapat mencetuskan emosi dan sebagai suatu gerak perasaan yang hebat. Biarpun begitu, struktur geometri yang dicanang Euclid, iaitu pengiraan nisbah keemasan perlu diambil berat untuk menghasilkan karya yang mempunyai faktor ‘wow’ lantas meletakkan nilai lukisan itu pada tempat yang lebih tinggi. Ini diterap dan pembuktian berkurun dahulu sebagai suatu estetik. Bukankah itu antara tujuan penghasilannya? ‘Mengangkat’?
BAB 4: TAPAK-TAPAK KEKAL
Sebagaimana Dickens mengakhiri novel beliau, seperti itulah penutup tulisan ini. Penuh harapan. Penuh kemaafan. Hidup yang disiakan dapat dipulihkan, bangsa yang lumpuh dapat disembuhkan. Dan Meor dan Mahadi sebenarnya jika tegar tegas dalam berkarya dan memperjuangkan apa yang mereka percaya, seluruh dunia akan terbantang. Kehidupan hanyalan pentas dengan props dan watak yang variasi. Dan kisah yang mereka bentangkan dalam The Tale of Two Cities ini moga dapat menjadi diorama yang dapat mereka bawa dan bangga. Marilah mencipta sendiri kisah dengan melihat dan mencantum karya-karya dua anak muda ini. Dan kata akhir Dickens, “…and I hear him tell the child my story, with a tender and faltering voice… ‘It is far, far better thing that I do, than I have ever done; it is a far, far better rest that I go to, than I have ever known.’”
Alina Abdullah
17 May 2010
Subang Jaya.




